PENGGUNAAN ENJIN PENCARI BAHAN BAHASA MELAYU
Dalam dunia jaringan tanpa sempadan, banyak maklumat yang boleh kita dapatkan dengan menggunakan hujung jari sahaja. Oleh demikian, penggunaan enjin pencari amat penting bagi membantu mencari maklumat yang berkaitan. Berikut adalah enjin pencari yang terdapat dalam dunia siber (internet):
- Yahoo
- Google
- Ask.com
- Sweet Im
- Bing.com
- AnswerWiki
Dengan menggunakan enjin pencari beberapa maklumat boleh dicari. Berikut adalah contoh bahan bahasa melayu yang boleh dapat dengan menggunakan enjin pencarian.
Bahasa dalam Komunikasi Siber: Kelebihan dan Kekurangan - Prof. Teo Kok Seong, Agenda Bahasa (6-10, DB Mac 2010)
by Dewan Bahasa on Saturday, February 13, 2010 at 4:50pm
Terdapat kajian yang memperlihatkan bahawa banyak yang tidak mengendahkan kesantunan bahasa semasa menulis berbanding dengan semasa bercakap. Situasi ini terjadi kerana untuk berlaku sopan semasa menulis, kita perlulah menyusun kata-kata sopan dan menggunakan strategi-strategi linguistik tertentu. Hal ini dikatakan lebih mudah dilakukan dalam bahasa lisan.
Bahasa yang digunakan dalam komunikasi siber tidak terhad kepada satu bahasa sahaja, misalnya bahasa Inggeris seperti yang digambarkan oleh banyak pihak. Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi siber, adalah tinggi, namun bahasa-bahasa lain, sama ada bahasa besar (misalnya bahasa antarabangsa atau dunia seperti bahasa Sepanyol) ataupun kecil (misalnya dialek, seperti dialek Melayu Kelantan) ikut digunakan dengan pesatnya. Sehubungan ini, tidak salah jika dikatakan bahawa multilingualisme (keanekabahasaan) adalah dasar penggunaan bahasa yang terdapat dalam komunikasi siber.
Selain multilingualisme ini, penggunaan bahasa dalam media siber ini ikut mengundang wacana atau perbincangan awam tentang impak negatif, yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Antara topik penting dalam wacana ini ialah kehilangan penggunaan huruf besar, penyalahgunaan (atau kreativiti dalam penggunaan) tanda baca, ejaan yang salah (atau bergaya seperti 'kum untuk asalamualaikum dalam bahasa Melayu) dan segala macam yang lainnya.
Dengan peningkatan pelbagai teknologi baharu atau moden dalam komunikasi, pelbagai amalan interaksi dan bentuk bahasa akan ikut muncul. Walau bagaimanapun, di sebalik perkembangan pesat ini, baik dari segi kepelbagaian media baharu mahupun kerencaman bahasa media baharu, komunikasi tradisional, yakni perbualan bersemuka, tetap relevan dan penting untuk selama-lamanya kerana kita masih memerlukan perbualan bersemuka untuk mendidik anak-anak menguasai bahasa. DB
Sumber : http://www.facebook.com/note.php?note_id=307438687693&1&index=0
Sastera Siber Sebagai Wadah Alternatif
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera sebagai medan alternatif untuk meneruskan kesinambungan karya mereka menemui khalayak. Sebagai antara pilihan terbaik, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu 'kampung'.
Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah laman Pustakamaya.net, Melayu.com, Karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net, www.esastera.com, dan beberapa lagi. Namun, antara yang ramai itu, yang agak menonjol ialah laman www.esastera.com.
Istimewanya laman ini apabila ia merupakan satu-satunya laman siber yang memuatkan sepenuhnya hasil-hasil karya sastera dalam pelbagai genre oleh kebanyakan pengunjungnya. Malah ia juga dikenali sebagai majalah sastera elektronik. Komitmen pengendalinya inilah yang menjadikannya antara laman yang menarik untuk dikunjungi dan seterusnya berkarya di situ.
www.esastera.com (selepas ini disebut e-sastera) mula dilancarkan pada 23 Disember 2002 bertempat di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya bersempena dengan majlis yang dinamakan sebagai 'Gathering Raya Penyair Alam Siber'. Sempena majlis itu, sekalian penghuni dan pengkarya dilaman berkenaan berhimpun untuk pertama kalinya di alam nyata setelah sekian lama berhimpun di alam maya. Setahun sebelumnya laman ini lebih dikenali sebagai www.comunityzero.com/penyair.
Menurut pengasasnya, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, sewaktu pelancaran e-sastera fasa 2, begitu menyuguhkan tentang komitmen penganjur untuk menjadikan laman itu sebagai satu 'platform' dalam usaha untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu dekad ini.
Sehingga kini, terdapat beberapa ruangan khusus yang menghidangkan karya-karya penghuninya. Antaranya, 'Penyair' yang memuatkan karya-karya ahli berbentuk sajak, 'Sajen' untuk sajak jenaka, 'Haiku', iaitu antara bentuk puisi Jepun yang terkenal yang ditulis dalam Bahasa Melayu, 'Resensi' yang memuatkan ulasan atau kritikan terhadap karya-karya yang sedia ada dipasaran terbuka, 'Cerpenis' yang menghimpunkan cerpen-cerpen, 'Berita dan Bicara Sastera' yang menghimpunkan maklumat dan juga laporan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berlangsung di dalam negara, 'Novel' yang memuatkan novel bersiri yang ditulis oleh ahli-ahli tetap secara bergilir untuk meneruskan sinambungan cerita, 'Poets' yang memuatkan puisi-puisi dalam bahasa inggeris, 'Profil' yang memuatkan biodata-biodata ahli laman berkenaan, 'Madah dan Pantun' dan beberapa pilihan genre lagi. Kepelbagaian pilihan yang ada ini memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi.
Laman ini merupakan tempat berhimpun ramai penulis, termasuk yang muda dan mapan. Di sinilah anda akan ditemukan dengan pelbagai nama seperti Drirwan, Arisel BA, Sri Diah, Abdul Latip, Zainal Lasim, Razali Endun, Hashimah Harun, Gravedigger, Ida Munira, Al-Maghfirah, Alaieffa, Jimadie, Wan Azman, Erwin Khairul, Anbakri, Ana Suraya, MdZainuddin, Damahum, Rudy Bluehikari, dan Nimoiz TY. Atau yang termuda kini seperti Fard Razy, Mankie, Adie7, dan ramai lagi. Malah, di sini juga kita akan bertemu dengan kelompok penulis dari pelbagai pelusuk dunia. Ada yang datang dari Indonesia, Mesir, Jepun, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi. Mereka inilah antara pengunjung setia serta penyumbang tetap di laman berkenaan.
Istimewanya di sini, setiap karya mempunyai peluang untuk 'dibedah' secara langsung. Ini kerana, diruangan-ruangan yang disebutkan di atas, turut memuatkan ulasan-usalan serta kritiakn yang dibuat oleh penghuni lain. Ini menjadikan penulis karya itu dapat mengetahui maklum balas pembaca dengan cepat dari pelbagai sudut terutamanya untuk menilai kelemahan dan keduatan sesebuah karya mereka.
Malah sebelum itu juga turut diperkenalkan sistem 'mentor' antara penulis mapan dan baru. Karya-karya penulis baru, terutamanya sajak di e-mail terlebih dahulu kepada 'mentor' yang dilantik untuk dinilai atau diberi ulasan sebelum dimuatkan ke dalam laman berkenaan. Ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pendapat antara keduanya.
Karya-karya juga dapat disiarkan secara bebas dan terbuka. Bermutu atau tidak, itu soal kedua. Tetapi bila sudah berkarya di situ, karya-karya anda akan dinilai dengan segera, dan tidak dapat tidak, anda akan memilih karya-karya yang terbaik sahaja untuk tujuan siaran di situ. Sungguhpun begitu, pengendali sendiri tetap menetapkan syarat, seperti karya-karya yang menyentuh moral, peribadi, atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan keaiban orang lain, awal-awal lagi karya seperti ini ditolak. Seperti juga dimana-mana laman atau tempat di dunia ini.
Sehingga kini, laman berkenaan telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun lepas. Melalui anugerah berkenaan, sajak-sajak ahli yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 telah dinilai untuk menerima anugerah berkenaan melalui satu majlis yang telah diadakan yang dinamakan Hadiah eSastera.com (HeS.Com) 2003 yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2003, sijil dan cenderamata. Sajak Jenaka (Sajen) juga turut dinilai untuk menerima Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) yang menawarkan hadiah sebanyak RM1000.
Melalui anugerah itu juga, beberapa naskhah buku turut telah diterbit iaitu APAS (sebuah antologi puisi pilihan komuniti 'penyair' alam siber). Sajak-sajak yang termuat di dalam antologi berkenaan merupakan sajak pilihan yang turut dinilai untuk Hadiah Esastera.com (HeS.Com) 2003.
Dua buah lagi ialah SAJEN yang merupakan antologi sajak jenaka pilihan komuniti 'penyair' alam siber untuk Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) 2003 dan Kursus Kepenyairan E-Sastera. Ketiga-tiga naskhah berkenaan diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar dan Hashimah Harun dan diterbitkan oleh kAPAS Publication.
Manakala untuk tahun hadapan pula terdapat beberapa penambahan hadiah lain turut ditawarkan dalam HeS.Com 2004 seperti Anugerah Cerpenis Alam Siber (ASCAS), Anugerah Haiku Alam Siber (HAIJIN) dan beberapa lagi.
Selain daripada itu, beberapa sayembara lain turut diadakan sepanjang tahun. Ia juga turut dikenali sebagai 'Sayembara Di Talian' yang diadakan bersempena dengan sesuatu peristiwa seperti Sayembara Puisi Perang, Sayembara Puisi Hari Bapa, Sayembara Puisi Hari Keluarga, Sayembara Puisi Hari Guru, dan Sayembara Puisi Maulidur Rasul yang menawarkan tiga hadiah utama bernilai RM100.
Beberapa hadiah tidak berkala juga turut ada seperti penyumbang sajak terbanyak untuk tahun berkenaan, sajak keseribu, deklamator terbaik (dinilai dalam dua pertemuan sebelum ini), pengulas prolifik dan beberapa lagi.
Dan terbaru sempena pelancaran e-sastera fasa 2, penganjur telah mula menawarkan hadiah Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) yang merupakan projek terbesar laman berkenaan. ASWAS yang pertama akan mula dikeluarkan pada tahun 2006 dengan menjadikan karya-karya yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 hingga 2005 sebagai penilaian. Dan khabarnya, hadiah yang ditawarkan mencecah ke angka RM100,000!
Ini jelas menunjukkan bahawa sastera siber sudah mampu untuk pergi jauh ke depan meninggalkan tanggapan yang sedia ada. Tidak dapat tidak, dunia sastera siber mula mendapat tempat dan mampu duduk sebaris dengan dunia sastera arus perdana. Penulis-penulis baru sudah boleh berkarya dengan bebas tanpa menunggu peluang dari arus perdana tiba.
(Artikel ini telah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Februari 2004)
Sumber : http://www.esastera.com/kk/sasterasibersebagaiwadahalternatif.htm
BAHASA MELAYU DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)
Apakah yang anda faham tentang istilah teknologi? Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia, 2007).
Apakah hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi? Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, iaitu berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Wikipedia, 2007). Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia.
Apakah pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)? Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Strategi yang perlu dirancang ialah memperkukuhkan kekuatan bahasa secara dalaman yang telah terbina sekian lama. Masyarakat pengguna Bahasa Melayu perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima cabaran perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang dipengaruhi oleh bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris. Usaha untuk membentuk peristilahan Bahasa Melayu dalam bidang ini perlu lebih progresif dan terbuka dengan menerima penyerapan masuk kata-kata asing bagi pengayaan perbendaharaan kata Bahasa Melayu. Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman yang mencabar dengan kedatangan unsur asing ke alam Melayu misalnya kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris. Evolusi Bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencorakkan bentuk masyarakat, struktur ekonominya dan persaingan sengit dalam pasaran antarabangsa. Kewujudan bahasa amat penting dalam konteks ini kerana bahasa merupakan sumber komunikasi yang penting. Bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia.
Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan Bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang kelihatannya jelas sekali mementingkan Bahasa Inggeris. Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa
Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa. Ini dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.
Keupayaan Bahasa Melayu bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penutur Bahasa Melayu itu sendiri menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Sikap masyarakat terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Ketidakyakinan terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa dalam kalangan penutur Bahasa Melayu mengakibatkan Bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Penutur Bahasa Melayu lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian Bahasa Melayu. Mereka menganggap Bahasa Melayu tidak setanding dengan Bahasa Inggeris dan akhirnya mula meminggirkan Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
Kita menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan ilmu yang datang dari luar. Konsep yang didukung oleh bidang ini tidak ditemui dalam dunia Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus berkiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini. Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa bagi dunia siber, malah kini kita dapati bahasa Arab dan Bahasa Mandarin mulai mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet. Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang cukup besar di dunia. Bak kata perumpamaan Melayu, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu helah”. Laman sesawang yang dibina oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa agar maklumat tersebar dalam Bahasa Melayu selain daripada Bahasa Inggeris. Sokongan yang berterusan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu berterusan, di samping pembinaan pangkalan data yang bersesuaian bagi pengembangan Bahasa Melayu. Dengan cara ini, bahasa ini mudah dicapai oleh pusat-pusat Pengajian Melayu di luar negara yang menggunakan Bahasa Melayu.
Latihan
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan dalam usaha untuk memantapkan penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
sumber : http://files.orazza.webnode.com/200000001-ecf27ed875/Nota%20Kuliah%201.pdf
dengan 'klik' alamat ini http://myais.fsktm.um.edu.my/5003/, anda akan dihubungkan ke laman sesawang 'MyAis' yang melampirkan satu jurnal yang bertajuk ' PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN LITERASI BAHASA MELAYU ' hal ini dapat menjelaskan lagi bagaimana enjin pencari dapat membantu anda mencari maklumat.
No comments:
Post a Comment